Malaysian Communications And Multimedia Commission (MCMC) | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)


KUALA LUMPUR, 2 Disember 2019 — Susulan kejayaan ASEAN Makerthon 2017, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama ARM, Celcom Axiata Berhad, Ericsson Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang menganjurkan ASEAN Makerthon 2019 bermula hari ini sehingga 4 Disember 2019. 

Bertempat di Pusat Inovasi 5G (IC5G) UTM-Ericsson di kampus UTM Kuala Lumpur, acara ASEAN Makerthon selama tiga hari itu akan menjadi Makerthon yang pertama dijalankan dengan menggunakan rangkaian 5G tertutup.  

Pemilihan IC5G sebagai lokasi acara dibuat memandangkan ia turut menempatkan makmal penyelidikan, ruangan pembelajaran 5G dan juga memaparkan inovasi-inovasi yang berkaitan 5G. 

Acara berkenaan bertujuan memberikan platform kepada para peserta di rantau ASEAN untuk mempamerkan kemahiran, idea serta kreativiti mereka dalam menghasilkan prototaip fizikal sejajar dengan temanya ‘Impak Revolusi 5G Ke Arah Revolusi Industri 4.0’. Selain itu, ia juga satu platform kepada para peserta untuk mendapatkan pengalaman dengan membangunkan penyelesaian inovatif yang menonjolkan manfaatmanfaat rangkaian 5G.  

ASEAN Makerthon terbuka kepada anggota-anggota negara ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN TELSOM [China, Jepun, Republik Korea, India, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat]. Tahun ini, sekatan umur telah ditarik balik dan permohonan adalah terbuka kepada para peserta di luar institusi pengajian tinggi bagi menggalakkan persaingan. 

Hasil prototaip para peserta terlibat akan dinilai oleh sekumpulan panel hakim terdiri daripada syarikat atau institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang Revolusi Industri, 5G dan Internet Benda (IoT), berpandukan kepada empat (4) kriteria utama iaitu idea yang diketengahkan, prototaip, model perniagaan dan pembentangan mereka. 

Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak berkata, “Menurut edisi terbaru Laporan GSMA Asia Pasifik mengenai ekonomi mudah alih (Mobile Economy), pengendali mudah alih Asia dianggarkan akan melabur sebanyak USD370 bilion dalam pembangunan rangkaian 5G baharu antara tahun 2018 dan 2025. Turut dijangka, 24 pasaran di Asia Pasifik akan melancarkan teknologi 5G menjelang tahun 2025 dengan jumlah sumbangan sebanyak USD900 bilion kepada ekonomi rantau ini dalam tempoh 15 tahun akan datang.  

“Sehubungan itu, Program ASEAN Makerthon tahun ini adalah unik kerana buat pertama kalinya ia dijalankan menggunakan rangkaian 5G. Tahniah saya ucapkan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Saya berharap ASEAN Makerthon 2019 akan menjadi platform yang amat berguna kepada para peserta untuk menimba pengalaman dengan membangunkan penyelesaian inovatif yang menyerlahkan manfaat rangkaian 5G.” 

Juara acara Makerthon ini akan menerima wang tunai AS$5,000 manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah AS$3,000 dan AS$1,000. 

Sementara itu, Yvonne Chou daripada bahagian Pembangunan Jualan dan Perniagaan untuk Asia Tenggara dan ANZ di ARM berkata, “Kami berbesar hati berganding bahu dengan MCMC untuk menerajui usaha “security by design” apabila memasang atur IoT dan 5G di rantau ASEAN. ARM Pelion menyediakan satu ekosistem serta kebolehan pengurusan Internet Kebendaan (IoT) yang mudah, selamat dan fleksibel daripada cip ke awan (chip to cloud) untuk profil peranti yang pelbagai.” 

Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad pula berkata, “Celcom bangga menjadi sebahagian daripada ASEAN Makerthon 2019 anjuran MCMC, satu acara serantau yang dikuasakan oleh rangkaian percubaan 5G Celcom bagi memacu inovasi dan menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan dan aspirasi 5G negara dalam kalangan bakat-bakat muda. Usaha kami di IC5G membawa rangkaian percubaan 5G ke dalam suasana kampus sebagai ruang penyelidikan dan perkembangan 5G di Malaysia.” 

Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, Todd Ashton berkata, “Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Celcom dan UTM bagi menzahirkan pengalaman 5G di IC5G; kampus pertama di Malaysia yang membolehkan pihak akademik, industri dan pembekal perkhidmatan untuk menguji aplikasi 5G dan IoT dalam rangkaian yang sedia untuk dikomersialkan. Visi bersama dalam menggunakan IC5G bagi membina ekosistem 5G di Malaysia kini direalisasikan”. 

Untuk maklumat lanjut berhubung mengenai ASEAN Makerthon 2019, sila layari https://www.eventbrite.com/e/asean-makerthon-2019impact-of-5g-revolution-towards-4ir-tickets-80611987625 atau twitter.com/aseanmakerthon | www.instagram.com/aseanmakerthon.   





ufc222live